IRISH QIARA,zaman
remajanya tercalar dek kepedihan masa silam. Reza, lelaki yang diharap akan
menjaga seumur hidup, pergi meninggalkannya menikahi perempuan lain. Pergi
bersama janji-janji serta beban yang tersisa buat dirinya. Hinggakan Irish
tawar hati untuk menerima insan bernama lelaki, apatah lagi untuk jatuh cinta
semula.
TENGKU HARRYS DAMIEN,hidupnya hanya tertumpu pada kerjaya. Setelah memiliki
Ijazah dari sebuah universiti di United Kingdom, dia memilih untuk menetap dan
bekerja di sana sambil meneruskan pengajian di peringkat Sarjana. Bagi Tengku
Harrys, cinta bukanlah sesuatu yang penting untuk difikirkan biarpun ramai
gadis datang padanya menagih perhatian.
Pertemuan
antara mereka terjadi di syarikat milik keluarga Tengku Harrys. Setahun selepas
Irish berkhidmat di sana, Tengku Harrys pulang semula ke Malaysia untuk
membantu keluarga menguruskan syarikat tersebut setelah puas menimba pengalaman
di perantauan. Yang seorang tidak banyak bercakap, yang seorang hanya memerhati
dari jauh. Namun disebabkan beberapa insiden yang berlaku suatu ketika dulu
membuatkan wajah Irish terpahat kemas dalam ingatan Tengku Harrys. Malah
bayangan gadis itu juga yang selalu datang bergurau di dalam lena mahupun
hari-harinya semenjak kejadian itu.
Keadaan
berubah apabila Tengku Dafina menyuarakan hajat memetrai ikatan antara Tengku
Harrys dan Irish. Di saat itu, Reza muncul semula bersama agenda tersembunyi.
Tengku Melissa pula tidak henti mencuri perhatian Tengku Harrys demi meraih
cinta yang terpendam rapi. Dan kehadiran Tengku Zafran untuk memiliki Irish
bagai ingin memparahkan lagi. Masih tegarkah dua hati menyulam kasih pabila
rahsia yang sekian lama terlempar jauh disingkap kembali? Masih utuhkah dua
jiwa menganyam cinta kala badai yang hadir menyapa seakan tidak mahu beransur
pergi?
“Saya
rasa perasaan Tengku belum pergi lebih jauh. Atau mungkin belum ada sekelumit
pun perasaan dalam hati Tengku. Jadi masih belum terlambat untuk undur diri...”
–IRISH
“Seumur
hidup saya mungkin belum pernah bercinta. Tapi sekali saya dah jatuh cinta,
jangan harap saya akan berpatah balik!” –TENGKU
HARRYS