JENIS-JENIS KELIM




KELIM BELAH KANGKUNG

 

1.    Kelim belah kangkung adalah jenis kelim yang popular dan mudah dijahit. Ia hanya terdiri daripada satu jalinan pada sebelah dalam pakaian.

2.    Kelim belah kangkung diguna untuk memberi bentuk kepada pakaian supaya ia kelihatan lebih padan.

3.    Ciri-ciri kelim belah kangkung:

(a)  Tidak beralur di sebelah luar.

(b)  Rata dan terbuka.

(c)  Mata jahitan tidak kelihatan di sebelah luar.

(d)  Lebar kedua-dua basi kelim sama.

(e)  Lebar kelim yang siap dijahit ialah 1.25cm ( ½ inci).

 

 

PROSES MENJAHIT KELIM BELAH KANGKUNG

Langkah 1:

          Temukan kedua bahagian luar fabrik.

Langkah 2 :

        Jelujur dan jahit mesin di atas garis pamadan.

Langkah 3:

         Tanggalkan jelujur, tekan, dan buka kelim.

Langkah 4:

          Kemaskan tepi fabrik dengan jahitan insang pari, jahitan mesin, jahitan lilit kemas atau mesin pengemas tepi.

 

CARA-CARA MENGEMASKAN KELIM BELAH KANGKUNG.

 

1.    Jahitan mesin

Sesuai untuk fabrik nipis dan sederhana yang tidak berjerumbai.

2.    Jahitan insang pari

Sesuai untuk fabrik yang nipis, jarang tenunannya, dan mudah berjerumbai. Misalnya, fabrik sutera dan fabrik kapas yang lembut.

3.    Menggunakan kun

Pita lurus, reben atau kun jalur serong tepat boleh digunakan untuk mengemas tepi belah kangkung. Sesuai digunakan untuk fabrik tebal dan berjerumbai.

4.    Jahitan lilit ubi

Sesuai untuk fabrik yang mudah berjerumbai.

 

 

 

KELIM BETAWI

 

1.    Kelim betawi sesuai dijahit pada fabrik nipis dan fabrik yang mudah berjerumbai.

 

2.    Ciri-ciri kelim betawi :

(a)  Kukuh dan tahan lasak.

(b)  Tepinya tidak perlu dikemas.

(c)  Lebar kelim antara 4mm hingga 6mm.

(d)  Jahitan tidak kelihatan di sebelah luar.

(e)  Dijahit dengan dua baris jahitan.

 

PROSES MENJAHIT KELIM BETAWI

Langkah 1:

          Temukan sebelah dalam fabrik, semat dengan peniti, jelujur atas garisan pemadan dan jahit mesin dengan jarak 6 mm dari garisan pemadan.

          Gunting basi kelim sehingga lebarnya tinggal 3mm.

Langkah 2:

          Buka dan ratakan kelim pada sebelah dalam supaya ia tidak beralur apabila diterbalikkan.

Langkah 3 :

         Terbalikkan kelim supaya sebelah luar fabrik bertemu, semat dngan peniti, jelujur dan jahit mesin di atas garisan pemadan.

Langkah 4 :

          Tanggalkan jahitan jelujur dan tekan kelim supaya menghala ke belakang artikel.

 

 

 

KELIM LIPAT TINDIH

 

 

Kelim lipat tindih adalah kelim yang sangat berguna bagi pakaian dalam dan pelbagai jenis pakaian luar. Kelim jenis ini memperlihatkan mata jahitan pada kelim di sebelah luar. Kelim tersebut adalah teguh kerana ia dijahit menggunakan tiga lapisan kain. Kelim ini tidak digunakan pada kain-kain tebal yang berkedut.

 

KEDUDUKAN KELIM LIPAT TINDIH

¡  garisan bahu mendatang

¡  garisan puteri

¡  garisan pinggang

¡  kelim lengan

¡  pesak skirt atau gaun dan baju melayu

¡  mengenakan ropol pada pakaian atau artikel

 

CARA-CARA MENGEMAS KELIM LIPAT TINDIH

¡  Dengan jahit insang pari

¡  Dengan cara balutan sendiri

¡  Dengan kun / pita jalur serong tepat

¡  Dengan mesin pengemas tepi

 

 

 

KELIM PAPAN MESIN

 

Kelim papan mesin adalah rata, kemas dan tidak berjerumbai. Oleh itu, kelim ini digunakan untuk kain yang mudah berjerumbai dan sederhana tebal. Kelim ini kelim yang kukuh kerana ia dijahit dengan menggunakan dua baris jahitan.  Ia boleh disiapkan di sebelah luar atau di sebelah dalam pakaian. Jika disiapkan di sebelah luar, dua baris jahitan mesin akan kelihatan di sebelah luar dan satu baris jahitan akan kelihatan di sebelah dalam.  Begitu juga sebaliknya jika disiapkan di sebelah dalam maka dua baris jahitan mesin akan kelihatan di sebelah dalam dan satu baris jahitan akan kelihatan di sebelah luar.  Kelim ini juga boleh dijahit menggunakan benang yang berwarna kontras untuk menjadi hiasan atau stail pada pakaian.

 

KEDUDUKAN KELIM

 

 Kemeja,Blaus,  Pijama , Seluar,  Pakaian kerja dan Jeans

 

Kredit artikel ; Blog jahitan


KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]