SAMBAL HITAM PAHANG

@awien - Anak Jati Pahang | 31-07-2019

Sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 30 Julai 2019, kami nak kongsi resipi Sambal Hitam Pahang, memandangkan Tuanku berasal dari negeri Pahang.

Sambal hitam Pahang merupakan resipi turun-temurun berasal dari negeri Pahang Darul Makmur. Sambal hitam ini sangat digemari oleh kebanyakan penduduk negeri itu selain gulai patin tempoyak.

Mari kita tengok cara-cara untuk memasak Sambal Hitam Pahang

RESIPI SAMBAL HITAM PAHANG

Bahan-bahan
- 1/2 cawan belimbing buluh rebus (rebus sehingga berwarna gelap)
- 1/2 cawan cili padi (ikut tahap kepedasan)
- 2 cawan ikan bilis yang telah dikopek
- 6 ulas bawang merah (3 ulas ditumbuk, 3 ulas dihiris nipis)
- 5 sudu besar kicap manis atau secukup rasa (Kicap sekadar nak bagi rasa sedap)
- Garam dan gula secukup rasa
- 1 cawan minyak masak

Cara-cara penyediaan

1. Belimbing hendaklah dicuci bersih. Masukkan ke dalam periuk TANPA AIR dan renih dengan menggunakan api yang kecil. Biar sehingga belimbing mengeluarkan jusnya sendiri. Biarkan sehingga belimbing mengecut dan jusnya betul-betul kering sehingga warna belimbing bertukar menjadi gelap.

2. Tumbuk cili padi sehingga halus.

3. Tumbuk 3 ulas bawang merah sehingga lumat. (3 ulas lagi dihiris nipis)

4. Tumbuk juga ikan bilis tetapi jangan terlalu lumat.

5. Tumbuk belimbing buluh juga separa lumat.

6.. Panaskan minyak masak dalam kuali. Tumiskan bawang yang dihiris sehingga wangi. Masukkan bahan-bahan tumbuk sekali gus dan tumislah sehingga bahan-bahan itu nampak agak kering dan garing.

7. Tambahkan kicap manis, garam dan gula secukup rasa. Biarkan sambal kering sedikit. Bila sudah garing, tutup api dan tolak sambal ke tepi kuali beberapa minit supaya minyak tos sebelum dihidang.

Sambal ini boleh disimpan lama dan boleh buat banyak-banyak untuk simpan stok. Boleh dihidang dengan apa saja juadah yang rasa sesuai di hati anda.

Selamat mencuba!

 

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]