Bijirin kaya antioksidan, kekal berat badan ideal


Penurunan dan peningkatan berat dalam tempoh terdekat, iaitu sepanjang Ramadan dan Syawal ketika menyambut perayaan Aidilfitri ini memerlukan pemerhatian bagi memastikan hidangan diambil sihat, seimbang dengan kandungan tinggi serat.

Bagi yang khuatir mengalami kesan berat badan berlebihan sepanjang musim perayaan ini, mereka dinasihat mengambil serat lengkap bagi melancarkan proses pencernaan.

 

Sajian pelbagai pilihan daripada bijirin seperti kekacang, oat dan beras merah penting kerana mengandungi khasiat yang menyediakan tenaga untuk lebih aktif.

Selain orang dewasa, manfaat kesihatan bijirin ini juga boleh dinikmati kanak-kanak yang membantu tumbesaran dan peningkatan daya ketahanan tubuh.

Perunding Pemakanan, Nurul Aziah Musa, berkata individu yang kurang makan buah-buahan atau sayuran boleh menggantikannya dengan mengambil makanan atau minuman bijirin.

 

Beliau berkata, kurang makan buah-buahan dan sayur-sayuran, iaitu lima hidangan sehari boleh menyebabkan kekurangan serat yang dicadangkan iaitu sebanyak 25 sehingga 30 gram/sehari.

 

Kekurangan itu, katanya, boleh menyebabkan berlaku kekurangan serat dalam sistem pencernaan yang membawa kepada masalah sembelit.

 

Bekalan tenaga berpuasa

 

“Pada bulan puasa ini, cuba minuman bijirin ketika bersahur yang kaya dengan serat kerana bukan sahaja mengenyangkan tetapi mengurangkan masalah gastrik selain mengandungi karbohidrat kompleks,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi pengenalan pelbagai bijirin lengkap jenama Surya yang diperkaya dengan makanan berkhasiat antaranya buah delima, fig, buah zaitun dan madu, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Majlis pelancaran Surya dihadiri artis terkenal Wany Hasrita.

 

Nurul Aziah berkata, pastikan hidangan bijirin mengandungi pelbagai jenis kumpulan makanan, terutama karbohidrat kompleks yang membantu menghasilkan tenaga secara perlahan-lahan sepanjang berpuasa.

Antaranya bijirin dan benih, oat, roti bijirin penuh dan beras perang tanpa proses. Bijirin lain yang menjadi pilihan seperti delima kaya antioksidan selain Vitamin C dan mengandungi bahan antiradang.

 

Pengambilan madu pula meningkatkan sistem imun badan dan berfungsi sebagai antiviral, benih hitam juga antiviral dan tinggi Omega 3 dan 6. Buah ara atau fig mengandungi antioksidan, tinggi serat dan meningkatkan kesihatan salur pernafasan, baik untuk mereka yang mengalami sesak nafas. Buah zaitun pula mengandungi lemak tidak tepu tunggal (monosaturated) yang baik untuk jantung.

 

“Bijirin membantu mengurangkan berat badan kerana mengandungi serat yang menyebabkan rasa kenyang berpanjangan seterusnya mengurangkan makan dan kadar penghadaman.

 

Kurangkan tekanan darah

 

“Beta glucan di dalam oat memainkan peranan penting bagi memberikan rasa kenyang. Pengambilan bijirin juga membantu ke atas fungsi insulin bertujuan mengimbangi tahap gula di dalam darah atau glukos. Kandungan beta glucan di dalam oat mengurangkan tekanan darah serta mengurangkan risiko penyakit jantung,” katanya.

 

Rahsia menghidangkan makanan sihat adalah dengan menyediakan makanan tinggi khasiat pada setiap masakan disediakan.

Pastikan juga anda menyediakan hidangan yang mengandungi pelbagai kumpulan makanan berdasarkan piramid pemakanan, terutama karbohidrat, protein, lemak, sayur dan buah-buahan.

 

Kurangkan makanan berminyak dan lemak ketika memasak dan pilih daging kurang lemak selain menggunakan kaedah masakan sihat seperti mengukus, memanggang dan goreng dengan minyak sedikit.

Apabila kanak-kanak diberikan pemakanan tinggi kualiti untuk otak dan tubuhnya, mereka secara semula jadi akan kurang keinginan untuk makanan manis atau minuman tinggi gula.

 

Info:

 

* Minuman bijirin sesuai dimakan ketika:

- Sarapan

- Snek petang

- Ditambah dengan buah-buahan segar untuk bangkitkan selera.

Kredit artikel: Berita harian online

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]