Nak kelihatan muda dan sihat? Amalkan makan 10 ulam ini


Ulam mempunyai banyak khasiat, kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama iaitu kalsium, fosforus, zat besi, natrium dan kalium.

1. Pegaga

Antara ulam yang popular dan sering dijumpai. Pegaga boleh dimakan begitu sahaja bersama sambal, dibuat jus atau dijadikan kerabu. Amalan meminum air rebusan pegaga pula dikatakan boleh menaikkan seri wajah.

Ulam pegaga telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai herba menjana kecerdasan berfikir dan membantu peredaran darah serta kesihatan kulit.

2. Jantung pisang

Diperolehi daripada pokok pisang, jantung pisang atau bunga pisang ini berwarna merah keunguan. Tinggi serat dan mampu bantu elak sembelit, jantung pisang boleh menjadi menu yang baik semasa bulan puasa.

Boleh direbus atau dicelur, dimasak lemak putih atau dibuat kerabu.

3. Petai

Petai juga mempunyai khasiatnya tersendiri. Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain, iaitu sebanyak 8%.

Kandungan lain yang ada dalam petai adalah karbohidrat, air, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2 dan C.

Biji petai dikatakan berkesan merawat penyakit jantung, kencing manis, mencuci buah pinggang dan untuk mengeluarkan cacing daripada kanak-kanak yang kecacingan.

4. Ulam raja

Ulam raja hanya perlu dicuci bersih dan boleh terus dimakan mentah. Ibu dalam pantang digalak makan ulam raja. Antara khasiat ulam raja, bantu meremajakan kulit.

Bolehlah diamalkan untuk awet muda.

 

5. Kacang botol

Kacang botol boleh dimakan mentah atau dimasak. Lazimnya dikacau goreng. Pilih yang muda dan segar untuk rasa yang lebih enak. Kaya dengan protein dan mineral.

6. Timun

Ini antara ulam yang sedap dan rangup. Boleh dimakan dengan apa jua menu. Dipercayai dapat mengatasi masalah sembelit dan gastrik. Jadi, boleh amalkan memakan ulam timun sepanjang berpuasa ini.

7. Cekur

Ulam cekur sering digunakan oleh ibu yang sedang berpantang untuk kecutkan rahim dan membuang angin.

8. Selom

Daun selom biasa dimakan bersama laksa Kedah atau dibuat urap. Dijadikan ulam juga tidak kurang enaknya.

Mengandungi pelbagai nutrisi antaranya kalsium dan vitamin C yang baik kesihatan.

Daun selom juga mudah ditanam dan boleh tumbuh meliar di kawasan berair dan lembap.

9. Rebung

Selain dibuat masak lemak, rebung juga boleh dijadikan ulam. Rebus dan hiriskan. Khasiat rebung pula membantu turunkan kolesterol, menyihatkan sistem pencernaan dan bantu proses detoksifikasi badan.

10. Kaduk

Ramai yang keliru dengan kaduk kerana bentuknya seperti daun sirih. Boleh dimakan mentah atau pun dicelur. Air rebusan daun kaduk dikatakan dapat melawas kencing, melegakan selsema, sait pinggang dan sengal tulang.

Jom semua amalkan makan ulam mulai hari ini untuk kekal sihat dan awet muda.

 

Kredit artikel: Blog FMT news

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]