Hisap rokok vs sedut arsenik. Mana pilihan anda?

Jie | 26-06-2019

Hebatnya penangan rokok ini bukan kecil-kecil anak. Ingat lagi kempen besar-besaran ‘Tak Nak’ merokok anjuran kerajaan suatu masa dahulu? Kini, ia hanya menjadi sejarah. Meskipun ia disebarkan ke seluruh negara, impaknya tidaklah seperti diharapkan.

Mungkin ada yang terkesan, berhenti merokok namun hakikatnya jumlah perokok masih ramai. Lebih membimbangkan, statistik menunjukkan dianggarkan 3,500 daripada setiap 10,000 kematian setiap tahun di Malaysia adalah berkaitan dengan merokok.

Jumlah yang merisaukan namun mungkin tidak kepada perokok. Tanyalah mereka, kenapa tetap merokok meskipun tahu bahayanya. Anda pasti boleh mendapat jawapan seperti ini: Menenangkan fikiran, ikut kawan, tak ‘jantan’ kalau tak merokok dan banyak lagi.

Ada juga berbangga, mengatakan dengan merokok dia mendapat ramai kawan. “Bang, ada lighter (pemetik api)? Pinjam boleh?,” kata sahabat penulis. Dengan satu soalan, dia membuka topik perbualan. Andai kena gaya, berkawanlah mereka.

Tapi dia lupa, kerana rokok jugalah dia pernah kehilangan kawan. “Dia minta rokok aku, ganti dengan rokok murah, rokok aku mahal. Tak adil,” adunya kepada penulis. Maka, terputuslah persahabatan mereka angkara rokok.

Itu belum dikira kesihatan rakan-rakan dan keluarganya yang menjadi ‘perokok pasif’, menyedut asap rokok daripadanya tanpa kerelaan, membahayakan paru-paru sendiri dek kerana kedegilan orang lain bersahabat dengan asap.

Tahukah anda, terdapat lebih 4,000 bahan kimia dalam sebatang rokok (sumber Kementerian Kesihatan Malaysia). Antaranya, tar (bahan membuat jalan raya), ammonia (bahan dalam pencuci lantai), napthylamine (ubat gegat), arsenik (racun anai-anai).

Hebatnya perokok, bersahaja mereka menyedut dan menikmati sebatang rokok saban hari, kadangkala 20 batang dalam sehari. Cuba anda suruh mereka menyedut tar, ammonia dan arsenik itu, mati hidup semula pun mereka pasti tak mahu buat.

Kalau merokok, tak suruh pun mereka buat. Bentangkanlah segala fakta atau fatwa sekalipun, andainya mereka merasakan merokok tidak salah maka mereka teruskan juga. Hebat penangan rokok, jauh lebih hebat prinsip dan hujah perokok.

Jadi, apabila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menetapkan larangan merokok dalam premis makanan, penulis antara yang bersetuju dengan pendekatan itu. Begitupun, tidak pula penulis membuka topik itu, membincangkannya dengan mereka yang dekat dengan penulis.

Kerana penulis tahu, mereka membantah keputusan itu. Larangan itu pasti ada asasnya. Baru-baru ini, Dr Dzulkefly mendedahkan kerajaan berisiko menanggung kos sebanyak RM7.4 bilion menjelang 2025 bagi rawatan penyakit utama impak daripada gejala merokok.

Menurutnya, jumlah itu tidak mustahil dan ia berdasarkan unjuran yang dibuat Kementerian Kesihatan melibatkan penyakit utama seperti kanser paru-paru, penyakit paru-paru kronik dan masalah jantung koronari.

Jelasnya, kos bebanan itu perlu disediakan kerajaan sekiranya kawalan tembakau di negara ini tidak diperkukuhkan selain kelaziman merokok dalam kalangan penduduk negara ini tidak berkurangan.

Keputusan tidak popular diambil Dr Dzulkefly itu menimbulkan kemarahan ramai pihak. Mereka berpendapat larangan itu terlalu cepat dilaksanakan seakan terus menghukum perokok.

Bahkan, ada pihak mendakwa Pakatan Harapan (PH) akan kalah dalam pilihan raya disebabkan keputusan itu. Dahsyat bukan? Meskipun ramai membantah namun ramai juga mengikut peraturan ditetapkan kerajaan.

Bagi mereka, kerajaan tidak menghalang mereka untuk merokok cuma jauhkan diri sedikit dari bukan perokok. Sejujurnya, amatlah tidak selesa terpaksa menyedut, menghidu bau rokok ketika sedang makan di restoran dan kedai makan.

Untuk perokok, mungkin tiada masalah namun untuk kami yang tidak merokok, ia sangat melemaskan dan merimaskan. Lebih menyedihkan, ada bayi di sebelah pun mereka tidak peduli. Dihembuskan asap sesuka hati tanpa memikirkan kesihatan orang lain.

Individu seperti itulah yang menimbulkan rasa tidak selesa sekali gus membangkitkan beberapa isu lain pula. Maka, bercambah dan semakin membarah isu rokok di Malaysia. Namun, sekiranya ada toleransi, barangkali masalah itu dapat ditangani sebaiknya.

Benar, perokok juga rakyat Malaysia, mereka ada hak untuk merokok dan larangan kerajaan bukanlah menghalang mereka merokok, cuma menjarakkan diri daripada orang lain. Andai ia diikuti sebaiknya, pasti semua pihak mendapat kesan positif daripada larangan berkenaan.

Sebelum mengakhiri coretan, penulis memohon maaf sekiranya tulisan kali ini menyinggung mana-mana pihak. Nukilan ini hanyalah usaha kecil penulis untuk menyedarkan masyarakat bahawa merokok membahayakan kesihatan.

Akhir kalam, sekiranya perokok mahu hak untuk mereka merokok dihormati, bukan perokok juga mahu hak menikmati udara segar, bebas daripada asap rokok turut dihormati.

Bertolak ansurlah, pasti hidup lebih indah.

Kredit: Sinar Harian


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/34415/Analisis-Sinar/Dahsyatnya-penangan-rokok!
 

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]