Cara mudah jahit manik



PADA 2003, suri rumah, Nadiyah Mohd Salleh, 30, mencuba menghiasi tudung bawal kosong dengan sulaman tangan yang dijahit bersama manik Jepun. Tiada batu swarovski tampalan dan semuanya dijahit tangan dengan kukuh.

“Kilauan manik yang dijahit dengan penuh perincian di atas kepala mampu membuatkan tudung bawal kosong yang dipakai itu nampak mewah dan eksklusif. Ia dibuat khas untuk rakan yang ingin mendirikan rumah tangga,” katanya ketika ditemui oleh penulis di rumahnya di Bandar Tasik Selatan, baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Nadiyah yang ketika itu masih lagi bergelar penuntut di sebuah universiti tempatan mendapat ‘kritikan’ hebat daripada rakan-rakannya yang lain.

“Ramai rakan menggelarnya sebagai ‘taman bunga bergerak’ sehinggakan ia berjaya mempengaruhi saya. Akibat malu, saya mengambil keputusan untuk tidak menjahit tudung seumpama itu lagi,” jelasnya.

Kini, setelah lebih 10 tahun berlalu, trend terbabit timbul kembali sekali gus menyuntik nafas baru kepada penggemar tudung bawal.

Ini sekali gus membuatkan Nadiyah bersemangat untuk kembali menjahit manik dan labuci yang telah ditinggalkan sejak insiden tersebut berlaku.

Menurutnya, dia sendiri pada mulanya terbabit dalam jahitan manik dan labuci sekadar memenuhi minat dan masa terluang bagi kegunaan sendiri.

“Memang sejak muda lagi saya suka menjahit, malah kerja-kerja menjahit ini memberikan kepuasan yang tidak terhingga kepada diri sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia mula aktif ketika menuntut di universiti dan tempahan bagi jahitan manik di tudung bawal kosong adalah pertama baginya kerana sebelum ini, ia hanya menjahit manik demi kepuasan diri.

“Bagaimanapun, kritikan yang saya terima itu, benar-benar membuatkan saya ‘berhenti’ sekejap daripada dunia jahitan manik,” katanya.

DVD pakej video seni sulam manik

Nadiyah ‘bangkit’ semula dan kembali aktif dalam bidang ini pada 2006.

“Saya mengikuti banyak kursus sulaman manik, menonton  video tutorial melalui laman sosial Youtube, membeli buku sama ada dari dalam atau luar negara dan mencari sumber rujukan lain,” katanya sambil menjadikan pakar jahitan manik, Rozita Jaafar sebagai idolanya.

Katanya, pada mulanya keterlibatan dia ada mengambil upah menjahit manik dan labuci tetapi perkhidmatan tersebut terpaksa ditamatkan ekoran kekangan masa dalam menguruskan anak-anak dan suami.

Kini, dia hanya menumpukan kepada perniagaan dalam talian melalui blog di http://senisulammanik.blogspot.com/ yang dibuka sejak 2011 khas buat mereka yang ingin belajar menjahit manik dan labuci.

Jelasnya, blog itu bertujuan mengajar teknik asas hingga pertengahan seni sulam manik dan labuci walaupun seseorang itu tidak mempunyai pengetahuan asas menjahit.

“Ini dapat dilakukan melalui pembelian cakera padat digital (DVD) Pakej Video Seni Sulam Manik. Pakej video ini, menerangkan mengenai cara-cara menjahit manik dan labuci daripada peringkat asas,
pengenal peralatan jahitan dan jenis-jenis manik.

“Ia juga menjelaskan mengenai bagaimana memasukkan benang ke dalam jarum dengan cepat dan mudah, bagaimana mematikan benang, kaedah memegang kain, mengawal jarum dan benang sehinggalah mempelajari pelbagai teknik serta corak sulaman manik secara langkah demi langkah dan satu persatu,” katanya.

Menurutnya, terdapat enam set DVD Pakej Video Seni Sulam Manik dengan harga serendah RM15 hingga RM160 mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Ibu kepada Muhammad dan Sumaiyah ini memberitahu, niatnya adalah untuk mereka yang minat belajar mengenai seni sulaman manik dan labuci tetapi tidak mempunyai masa terluang.

“Ada juga kelas-kelas seperti ini, tetapi terbeban dengan harganya yang agak mahal,” katanya.

Closed group Facebook

Tambah Nadiyah lagi, bagi menarik perhatian pembeli, dia membuka keahlian ‘closed group’ dalam laman sosial Facebook, di www.facebook.com/SeniSulamManikDanLabuci.

“Closed group itu adalah ‘hadiah istimewa’ daripada saya buat mereka yang membeli pakej video seperti yang dipaparkan di blog tetapi ia adalah mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya yang merancang untuk membuat e-book pada Jun nanti.

Menurutnya lagi, sekiranya dalam DVD tersebut memaparkan mengenai cara-cara jahitan asas manik dan labuci, tetapi ia agak berbeza di dalam Facebook.

“Dalam Facebook, segala jenis jahitan manik yang terkini ada di sini. Jalan kerjanya ditunjuk satu persatu siap dengan penerangan tip dan tutorial penuh bagi satu-satu jahitan yang saya akan muat naik setiap dua kali seminggu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kebanyakan pembeli DVD sudah mempunyai kemahiran dalam jahitan asas tetapi tetap membeli DVD ini semata-mata ingin mengakses kepada laman sosial tersebut.

“Selain mempelajari jahitan manik yang terkini seperti manik 3D dan manik crumble, ahli juga boleh berbincang dan bertanya apa yang tidak faham di samping melakukan latihan jahitan manik dan
labuci secara berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, setiap pembelian DVD Pakej Video Seni Sulam Manik, dia menyumbangkan RM3 kepada Tabung Gaza melalui akaun Islamic Relief Malaysia (IRM).

“Bermula Januari lalu, saya mengadakan kempen 'Belajar Sulam Manik Sambil Beramal' yang mana RM3 akan disumbangkan daripada hasil jualan setiap produk tersebut,” katanya.

 

.

Sumber: Sinar Harian


KATEGORI BUKU
KATALOG MILIKI SEGERA ! Dapatkan buku baru dan tawaran istimewa bulan ini.
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]