SEDEKAH PEMBUKA REZEKI - KHAIRUL HAKIMIN



Semalam, saya pergi jumpa kawan lama. Beliau ada banyak bisnes tak popular. Contohnya beli hartanah dan sewakan di sana sini. Facebook beliau pun berhabuk tak ada update. Saya tanya dia 2-3 soalan tentang murahnya rezeki dia. Kerja tak sampai 10 tahun, namun selepas berhenti, terus buat bisnes, kencang bukan main. Dia beritahu saya beberapa benda sahaja yang dia buat.

 

1. Setiap minggu (setiap hari jumaat) dia akan transfer / bank in duit ke isteri dia sebagai hadiah. Buatlah belanja atau nak simpan. Apa-apalah. Masa kerja gaji RM1,600 dulu. Dia hanya boleh beri RM70 sahaja seminggu.

2. Dia juga buat benda yang sama untuk emak ayah dia dengan jumlah duit yang sama (waktu itu). Dia pegang pada pesanan gurunya, hadiah kepada yang tersayang dan terdekat ini akan memurahkan rezekinya sendiri.

3. Sentiasa beli lebih untuk agihkan kepada orang lain. Asal dia beli nasi untuk sarapan di pejabat, dia akan beli 2-3 lebih. Letak di pantry dan tulis ‘siapa cepat dia dapat’. Kadang-kadang beli kuih.

4. Masuk surau, masjid, mesti solat dua rakaat. Mesti. Jika nak ke tandas sekalipun, ambil wuduk, dan pergi solat sekejap. Biasanya itu adalah jemputan Tuhan. Waima masa nak ke tandas, kebetulan terjumpa surau / masjid.

Dan kemudian, letaklah duit di tabung.

5. Setiap bulan, beliau beli 2 naskhah buku dan poskan ke sekolah-sekolah yang beliau cari alamat di sosial media. Belasah sahaja hantar atas nama perpustakaan.

6. Setiap kali keluar makan dengan keluarga dan kawan-kawan, dia kata dia akan berusaha pergi bayar. Melainkan masa itu memang tak berduit.

7. Tak boleh berkira. Awal bisnes, jika job yang dapat itu semurah RM50, ambil. Pelajaran lagi besar nilainya dari duit. Dulu, RM50, sekarang dah naik berpuluh kali ganda.

8.  Baik sangka dengan Tuhan. Sekiranya ada sahaja ujian yang melibatkan habisnya wang. Ingat balik, adakah bulan / minggu / hari tersebut ada yang termiss beri hadiah atau sedekah.

9. Meminta-minta dengan Tuhan. Ini wajib. Mintalah setiap hari. Tak boleh jemu, tak boleh biar, tak boleh malas. Minta minta minta.

Hari ini, beliau ada 4 buah kedai 3 tingkat yang disewa. Setiap satunya dapat dalam RM16,000/bulan. Kemudian ada beberapa rumah juga dijadikan sewaan.

Nak kata beliau kaya raya, tidak juga. Masih ada hutang bangunan yang belum selesai. Namun, hutang peribadi dengan bank semua dah tak ada.

Ada lagilah bisnes beliau yang nampak biasa-biasa dan tidak popular.

Hari ini, pagi-pagi hantar anak sekolah, kemudian pergi minum dengan orang rumah. Cuti-cuti balik kampung tengok keluarga.

Rasa cemburu pun ada. Pesan beliau kepada saya:

“Asal namanya kebaikan, buat. Walau hanya ada RM10 dalan poket, entah-entah RM5 adalah untuk beli kuih / makanan kepada kawan di pejabat. Mana kita tahu dia tak makan kerana tak ada duit, dan datang kerja setiap hari hanya minum air kosong.

Aku pernah rasa semua itu. Jadi aku buat semula kepada orang lain. Dan hari ini, Allah balas satu demi satu dengan cukup tersusun dan bergaya. Alhamdulillah.”

Khairul Hakimin Muhammad,

Syukurnya.


KATEGORI BUKU
KATALOG MILIKI SEGERA ! Dapatkan buku baru dan tawaran istimewa bulan ini.
Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]