TEMPE OH TEMPE!

Ruby | 21-09-2020

Tempe diperbuat daripada kacang soya yang diperam. Kebanyakan tempe dijual di pasar raya dan kedai runcit sama ada dalam pembungkusan daun pisang ataupun plastik lutsinar. Apa yang menariknya tempe ini ialah bila dimakan sama ada digoreng dengan kunyit dan garam, goreng sambal berlada, goreng kicap atau masak lemak, memang sedap tak terkata.

Jangan tak tahu, tempe ini punya khasiat yang unik iaitu boleh mencerahkan kulit, menurunkan tekanan darah, mengurangkan risiko jangkitan kuman, menurunkan kadar kolesterol, meningkatkan kekuatan tulang, meredakan cirit-birit dan banyak lagi.

Teringin nak buat tempe sendiri? Melalui FB Chef Suwarsi M. Arukin, beliau berkongsi cara membuat tempe sendiri di rumah.

Bahan-bahan:

500grams kacang soya (soy bean)
1 sudu teh ragi tempe
1 sudu makan cuka masakan
Daun pisang secukupnya

Cara-cara:

1. Rendam kacang soya semalaman (minimum 24 jam). Basuh dan bersihkan.
2. Rebus dalam air secukupnya selama 30-45 minit. Kupas kulit luarnya dan belah kacang.
3. Rebus sekali lagi kacang soya dengan air secukupnya. Tambah cuka dan didihkan selama 10-15 minit lagi. Toskan dan bilas.
4. Tabur kacang (berjarak) di dalam dulang yang besar dan jemur hingga air benar-benar kering (dalam 1-2 jam).
5. Tabur ragi tempe ke atas kacang soya yang dah kering dan gaul rata (guna sarung tangan bagi mengelak lebihan air/peluh bercampur yang akan merosakkan tempe).
6. Timbang 50grams campuran kacang+ragi dan letakkan dalam daun pisang.
7. Bungkus daun pisang kemas-kemas. Balut balas dengan kertas atau pembungkus makanan jika ada.
8. Susun bungkusan tempe dalam bekas dan letakkan ditempat gelap dan kering (saya letak dalam Tupperware dan simpan dalam stor).
9. Peram tempe selama 1-2 hari. Di hari ke-3 bolehlah buka bungkusan dan tengok samada tempe dah jadi atau belum jadi sepenuhnya (kadang-kadang masih kelihatan kacang yang belum tersalut putih yang terhasil dari proses peraman).
10. Tempe yang dah jadi sempurna bolehlah dipotong dan dimasak mengikut citarasa. Happy trying!

*Kacang soya boleh dibeli di mana-mana kedai/pasar raya/kedai barangan bakeri. Saya guna kacang soya organic.
*Ragi tempe boleh dibeli di kedai-kedai runcit atau di Lazada atau Shopee.
*Selain daun pisang, boleh juga bungkus tempe dengan daun ketapang, daun lirih, daun nyirik dan apa jua daun bersaiz besar yang tidak bertoksid/beracun. Sebagai alternatif, boleh gunakan pembungkus makanan (warna coklat cair) atau plastik (pilihan terakhir).
*Tempe akan matang setelah diperam sekurang-kurangnya 24 jam. Tapi biasanya setelah 2-3 hari tempe akan jadi dengan sempurna.
*Timbangan 50grams setiap bungkus dari 500grams keseluruhan berat kacang soya menghasilkan 15-16 biji tempe size kecil. Kalau suka tempe size besar dan padat, boleh gandakan kuantiti kacang soya dalam setiap bungkusan.

Untuk menjamu mata, jom kita saksikan gambar-gambar pembuatan tempe.

 

Kacang soya yang dah direndam 24 jam dan buang kulitnya.

 

Kulit selaput kacang soya lepas direbus. Boleh buat baja pokok tanaman. Boleh tabur terus ke pokok atau masukkan dalam peraman baja organic buatan sendiri (compost)

 

Ragi tempe. Boleh beli di shopee atau Lazada

 

Proses menjemur kacang soya rebus

 

Gaul ragi tempe dengan kacang (gunakan sarung tangan)

 

Timbang 50grams

 

Balut dengan daun pisang dan kertas. Ini tempe kluster Kayangan sebab tu balut dengan doily paper!

 

Bungkus kemas-kemas ya

 

500grams kacang soya menghasilkan 15-16 biji tempe size seperti dalam gambar.

 

Susun dalam bekas

 

 

Setelah 2 hari diperam, inilah hasilnya

 

Putih dan gebu

 

Tempe digoreng dan dimakan panas-panas memang sedap.

Kredit resipi dan gambar FB: Sue M Arukin

 

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU

NEWSLETTER

Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]