LIMA PENYAIR ARAB TERKEMUKA DUNIA


Tahukah anda tentang lima penyair yang berasal dari bumi Arab yang mana hasil karya mereka menjadi fenomena dan diagung seluruh dunia?

Barangkali tidak ramai yang mengetahui bahawa bumi Arab telah melahirkan ramai penyair. Kebudayaan Arab sejak berabad-abad lampau sangat mengagungkan sastera syair. Terdapat banyak puisi indah yang dihasilkan golongan sasterawan Arab, baik lelaki mahupun perempuan. Bahkan kepandaian mencipta syair menjadi salah satu cara untuk meningkatkan status sosial dalam kalangan masyarakat Arab. Di era moden juga terdapat ramai penyair Arab. Mereka ini bukan sahaja melahirkan satu gagasan sastera moden tetapi turut melestarikan kebudayaan nenek moyang mereka kepada dunia.

Berikut adalah antara nama-nama besar penyair moden yang berasal dari tanah Arab:

NIZAR QABBBANI (1923-1998)

Nizar Qabbani adalah seorang penyair yang lahir di Damaskus, Syria pada 21 Mac 1923. Beliau berasal daripada keluarga pedagang kelas menengah. Selain menjadi penyair, Nizar juga merintis karier sebagai diplomat di Kementerian Luar Syria, dan pernah bertugas di beberapa ibu kota negara, seperti Beirut (Lebanon), Kairo (Mesir), Istanbul (Turki), Madrid (Sepanyol), dan London (England).

 Nizar mula  menulis puisi sejak usia 16 tahun. Beliau menerbitkan sendiri buku kumpulan puisi pertamanya berjudul The Brunette Told Me ketika berusia 19 tahun dan waktu masih lagi menjadi mahasiswa di Fakulti Undang-undang, Universiti Damaskus pada tahun 1944.

 Kumpulan puisi itu adalah kumpulan daripada bait-bait romantis yang memuatkan beberapa rujukan tentang tubuh wanita yang satu masa pernah menjadi kontroversi. Hasil karya beliau ini telah mencipta satu gelombang kejutan ke seluruh masyarakat konservatif Damaskus. Ini kerana puisi-puisi beliau penuh dengan rasa simpati dan empati yang mendalam daripada Nizar terhadap nasib dan kehidupan golongan wanita di Syria pada waktu itu yang selalu ditekan, baik  secara fizikal mahupun emosi.

Walaupun karya beliau itu menjadi kontroversi, Nizar Qabbani tetap dihormati dengan diberi nama jolokan ‘Raja Penyair Arab’ malah ketika kematiannya pada 30 April 1998 ditangisi oleh semua golongan warga  Damaskus baik lelaki dan perempuan. Puisi-puisi indah Nizar Qabbani yang telah diterjemah ke bahasa Inggeris boleh dibaca laman sesawang nizarq.com.

MAHMOUD DARWISH (1941-2008)

Mahmoud Darwish merupakan penyair kelahiran Palestin. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1941 di sebuah desa bernama Al-Birwa. Beliau pernah diberi penghargaan sebagai Penyair Nasional Palestin kerana karya-karyanya yang banyak menyuarakan tentang kemerdekaan.

Di awal kariernya sebagai penyair, beliau telah menulis menggunakan teknik puisi Arab Klasik. Namun, pada tahun 1970, beliau mula menulis sajak-sajak dengan gaya bebas. Sepanjang hidupnya, beliau telah menerbitkan sebanyak 30 buku puisi dan 8 buku prosa.

Pada usia 17 tahun, Darwish telah mula menulis puisi tentang penderitaan penduduk Palestin, menceritakan penderitaan rakyat Palestin. Dari situlah beliau kemudian mula kerap diundang untuk membacakan puisi-puisi dalam banyak festival puisi.

Darwish juga sering kali diminta bekerja sebagai editor di beberapa syarikat penerbitan majalah dan akhbar, seperti Al-Jadid dan Al-Fajr. Beliau akhirnya meninggal dunia di Texas, Amerika Serikat, pada 9 Ogos 2008 setelah tiga hari dirawat selepas pembedahan hati. Puisi-puisi Mahmoud Darwish diangkat oleh sasterawan dunia, malah turut dikaji dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

 ANIS MANSOUR (1925-2011)

Anis Mansour merupakan penyair yang berasal dari Mesir. Beliau lahir di sebuah kota bernama Al-Mansoura (yang bererti berjaya). Selain bergiat dalam bidang sastera, beliau juga bekerja sebagai wartawan dan penterjemah.

Kerjaya beliau bermula sebaik lulus dari Universiti Kaior pada tahun 1947. Beliau memulakan kerjaya sebagai pekerja syarikat akhbar Al-Asas di Mesir. Selepas itu beliau melanjutkan kerjaya sebagai wartawan media massa di Rose Al-Yousef, Al Ahram dan kemudiannya di Akher Sa’a, yang ketiga-tiganya berpejabat di Mesir.

Terdapat 170 buku yang telah ditulis oleh beliau dan telah diterjemah ke dalam bahasa Perancis, Jerman dan Rusia. Beliau juga turut menterjemah lebih 200 cerita pendek dari pelbagai bahasa dunia ke dalam bahasa Arab.

Yang menariknya, beliau pernah menulis buku berjudul ‘Mengelilingi Dunia Selama 200 Hari’. Buku ini adalah risalah perjalanannya mengelilingi dunia pada awal tahun 1960-an. Negara-negara yang dikunjunginya antaranya bermula dari India, Jepun hingga ke Amerika Serikat. Pada tanggal 21 Oktober 2011, Anis Mansour meninggal dunia di Mesir pada usia 87 tahun.

KAHLIL GIBRAN (1883-1931)

Siapa yang tidak kenal Kahlil Gibran? Penyair kelahiran Lebanon ini telah menjadi sumber inspirasi ramai penyair seluruh dunia. Karya-karya beliau kerap kali menjadi bahan rujukan oleh penuntut sastera di universiti-universiti terkemuka dunia.

Gibran lahir di sebuah kota kecil bernama Bsharri di Lebanon. Beliau dibesarkan daripada keluarga Katholik Maronite. Pada tahun 1895 keluarganya berhijrah ke Boston, Amerika Serikat. Di sanalah beliau mula mendalami pendidikan seni dan sastera.

Gaya penulisan Gibran menjurus kepada genre puisi romantik. Beliau pandai menulis dalam dua bahasa, iaitu bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Kebolehan itulah yang menjadikannya dikenali di seluruh dunia. Bahkan di Lebanon, beliau dianggap sebagai pahlawan sastera.

Karya Gibran yang masih dibaca dan diterbitkan sehingga kini antaranya adalah Sang Nabi, Sayap-Sayap Patah dan Surat-Surat Cinta Kepada May Ziadah. Pada tahun 2009, seorang wartawan Amerika Syarikat, Joan Acocella menulis di The New Yorker mengenai Kahlil Gibran. Joan ada menyatakan bahawa karya-karya Gibran merupakan karya ketiga terbaik dari segi hasil jualan selepas karya-karya daripada William Shakespear dan Lao-Tze. Kahlil Gibran meninggal dunia di New York pada usia 48 tahun karena penyakit hati dan batuk kering.

 

NAZEK AL-MALAIKA (1923-2007)

Nazek Al-Malaika adalah penyair wanita yang banyak memberi inspirasi kepada golongan penulis sastera masa kini. Beliau merupakan penyair Iraq paling terkenal yang menggunakan teknik syair bebas.

Nazek memiliki ibu yang juga seorang penyair, sementara ayahnya bekerja sebagai guru. Dengan kedua-dua ibu bapa yang memiliki latar akademik, adalah lazim bagi Nazek mempunyai kecenderungan tinggi dalam bidang penulisan puisi. Beliau menulis puisi pertamanya di usia yang sangat muda, iaitu pada usi 10 tahun.

Selain mengambil jurusan pendidikan seni di Universiti Baghdad, beliau juga mengambil kuliah perbandingan sastera di Universiti Wisconsin di Amerika Serikat. Kemudian Nazek melanjutkan pelajaran dalam program Pendidikan Seni Halus di Jabatan Musik di Almamater yang sama. The Night's Lover yang terbit setelah beliau lulus kuliah di Baghdad adalah kumpulan puisi pertamanya yang dihasilkan oleh beliau.

Sebagai penggemar puisi, saya selalu merasakan puisi adalah satu bentuk ekspresi jiwa paling halus dan lembut yang mampu menyampaikan maksud kepada pembaca tanpa perlu membangkitkan kemarahan. Sama ada ia ditulis untuk tujuan menegur, memujuk, mengekspresikan kata hati atau mengajak pembaca berubah ke satu frasa baru, puisi-puisi tetap ditulis dengan bahasa yang lembut. Mungkin kita boleh melihat karya-karya penulis di atas dan belajar sesuatu daripadanya.

 

 

 

KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU

NEWSLETTER

Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]