15 Bahan Wajib Ada di Dapur Malaysia

Jie | 02-06-2020
bahan wajib di dapur
bahan

Masakan Malaysia penuh dengan kepelbagaian dari segi rasa, rupa dan warna. Chef-chef rumah tangga di Malaysia bukan sahaja memasak hidangan Melayu, tetapi juga hidangan Cina, India dan Barat, dan sering kali mencipta resipi baru hasil daripada gabungan antara hidangan-hidangan ini. Oleh itu tidak hairanlah di dalam setiap dapur chef rumah tangga di Malaysia sentiasa tersedia pelbagai jenis rempah ratus dan ramuan bagi memudahkan proses memasak harian mereka.

 

Berikut ialah 15 bahan-bahan yang wajib ada sepanjang masa dalam dapur setiap chef rumah tangga di Malaysia:

 


1. Cili kisar - Juga dikenali sebagai 'cili blend', cili kisar diperbuat daripada cili kering yang dikisar halus dengan sedikit air menggunakan blender atau mesin pengisar. Pada zaman dahulu sebelum kewujudan mesin pengisar, cili ini dihaluskan secara manual menggunakan batu giling dan dipanggil 'cili giling'. Cili kisar merupakan ramuan serbaguna No. 1 kebanyakan dapur-dapur Malaysia kerana hidangan Malaysia terutamanya hidangan Melayu rata-ratanya menggunakan cili.

 

2. Bawang besar - Sama ada dikisar halus dan disimpan di dalam peti sejuk atau disimpan di dalam bakul bawang, bawang besar juga digunakan dalam hampir setiap masakan Malaysia.

 

3. Bawang putih - Sama seperti bawang besar, bawang putih merupakan pelengkap hidangan di Malaysia. Kaya dengan khasiat, bawang putih juga sering disimpan di dalam peti sejuk selepas dikisar halus untuk memudahkan penggunaannya.

 

 

4. Ikan bilis - Diawetkan dengan garam dan dijemur sehingga kering, ikan bilis tahan berbulan-bulan jika disimpan di dalam bekas kedap udara dan dimasukkan ke dalam peti sejuk. Enak digoreng atau ditumbuk halus dan dicampurkan ke dalam masakan, cara penggunaan ikan bilis di dalam masakan tiada hadnya.

 

 

5. Halia - Selain daripada sering digunakan dalam bahan tumisan sebagai penyedap masakan, halia juga berupaya mengeluarkan angin yang berlebihan di dalam badan apabila dimakan, jadi ia sesuai digunakan dalam masakan yang mengandungi ramuan 'berangin' seperti ubi kentang dan santan.

 

6. Ubi Kentang - Ramuan yang mengenyangkan dan serbaguna ini juga sangat digemari kanak-kanak dan sering dijadikan pengganti nasi.

 

7. Ayam - Satu-satunya bahan basah yang wajib ada dalam kebanyakan peti sejuk di Malaysia. Selain boleh digunakan dalam pelbagai hidangan dan bermacam cara, ayam juga lazimnya lebih digemari kanak-kanak berbanding dengan ikan atau daging.

 

8. Telur ayam - Murah, senang didapati, berkhasiat dan cepat dimasak, telur adalah bahan serbaguna dan merupakan salah satu bahan penting dalam kebanyakan dapur. Juga digemari kanak-kanak, telur boleh diolah menjadi pelbagai hidangan yang enak dan menyelerakan.

 

9. Belacan - Diperbuat daripada udang geragau yang diawetkan dengan garam dan dimampatkan dalam bentuk kepingan bulat atau empat segi, belacan merupakan salah satu ramuan utama masakan Melayu. Lazimnya digunakan dalam masakan sambal dan dicampur dengan cili kisar sebagai penambah perisa.

 

10. Beras - Makanan ruji rakyat Malaysia, tidak kira bangsa dan agama. Kebanyakan hidangan di Malaysia terutama sekali lauk-pauk lebih terserlah keenakannya jika dinikmati bersama nasi dan tidak kurang juga yang dicipta khusus untuk dimakan dengan nasi.

 

11. Kunyit hidup - Selain digunakan dalam hidangan sebagai penambah perisa, kunyit hidup yang dikisar halus juga digunakan sebagai ramuan salutan untuk menggoreng ikan dan ayam.

 

12. Limau nipis / limau kasturi - Selain digunakan sebagai penyedap masakan dan juga untuk menghasilkan minuman yang menyegarkan, limau nipis atau limau kasturi juga digunakan untuk menghilangkan bau hamis ayam dan daging atau bau hanyir ikan.

 

13. Tepung gandum - Bahan serbaguna ini bukan sahaja digunakan dalam pembuatan kek dan biskut, tetapi juga dalam pembuatan hidangan minum petang dan snek seperti cucur, lempeng dan kuih-muih. Ia juga boleh digunakan untuk menghilangkan bau hamis pada ayam dan daging.

 

14. Kicap masin / kicap manis - Sering digunakan dalam masakan sebagai penyedap rasa dan sebagai ramuan utama dalam sesetengah hidangan. Kicap masin juga sedap dinikmati begitu saja bersama nasi panas dan telur mata.

 

15. Minyak masak - Bahan yang paling penting dalam dapur Malaysia. Jika tiada minyak masak, kebanyakan hidangan di Malaysia tidak boleh dimasak. Ini adalah kerana kebanyakan masakan Malaysia terutamanya masakan Melayu membabitkan proses menumis dan menggoreng yang banyak menggunakan minyak.

 

Sumber : Cookpad Malaysia

 

BUKU BERKAITAN
KALENDAR ALAF 21
KATEGORI BUKU

NEWSLETTER

Sebarang pertanyaan/jemputan, sila emelkan ke [email protected]